Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Thursday, February 10, 2011

Misteri 20 kucing mati digigit terjawab


MENTAKAB 10 Feb. - Misteri kematian 20 ekor kucing di Taman Bukit Bendera di sini akhirnya terjawab apabila seekor musang berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sini semalam.
Kematian haiwan itu mula disedari sejak dua minggu lalu oleh penduduk taman tersebut yang bingung apabila setiap hari menemui bangkai kucing dengan kesan gigitan di leher.
Penduduk taman itu, Abdul Hamid Khan Ibrahim, 42, berkata, pada mulanya mereka tidak menghiraukan mengenai punca kematian kucing-kucing tersebut tetapi hairan setiap hari ada dua hingga tiga ekor kucing mati.
Katanya, perkembangan itu membuatkan mereka menjadi risau dan mula tidak sedap hati.
''Pada mulanya kami tidak tahu punca kematiannya sehinggalah ada penduduk yang ternampak kucing itu mati diserang oleh musang.
"Penduduk itu melihat terdapat empat ekor musang berkeliaran di sekitar perumahan di Lorong 4D taman perumahan ini.
"Bukan itu sahaja, selepas melihat musang itu berkeliaran ada penduduk mengadu binatang itu mula berani masuk dalam rumah penduduk untuk mencari makanan," katanya di sini semalam.
Abdul Hamid Khan berkata, bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku terhadap penduduk taman itu mereka segera menghubungi Perhilitan Temerloh untuk menangkap musang terbabit.
Menurutnya, kakitangan Perhilitan segera datang dan memasang perangkap dengan menggunakan sebiji pisang dan akhirnya musang itu berjaya ditangkap.
"Kami harap pihak Perhilitan terus memasang perangkap itu kerana mungkin ada lagi musang sekitar kawasan ini dapat ditangkap bagi menjamin keselamatan penduduk dan tiada lagi kucing yang mati," katanya.
Utusan Malaysia difahamkan ketenteraman penduduk di sini bukan sahaja diganggu oleh musang sahaja malah binatang lain seperti kera dan ular.
Katanya, penduduk di sini mengucapkan terima kasih kepada Perhilitan yang membantu menangkap musang itu dari terus berkeliaran.

No comments:

Post a Comment