Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Wednesday, February 9, 2011

Kutipan zakat Pahang meningkat RM74 juta



Wan Abdul Wahid Wan Hassan (kanan) menyerahkan kunci replika rumah PPRT kepada warga emas, Daud Talib, 79, di Temerloh, Pahang, kelmarin.


TEMERLOH 9 Feb. - Kesedaran umat Islam negeri ini menunaikan tanggungjawab membayar zakat semakin meningkat apabila jumlah kutipan meningkat kepada RM74 juta pada tahun lalu.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, berbanding 2009, pihaknya dapat mengutip zakat sebanyak RM70 juta.
Daripada jumlah zakat itu, katanya, sebanyak RM53 juta diperuntukkan untuk membantu golongan yang memerlukan manakala RM150,000 pula disalurkan kepada hospital kerajaan di seluruh negeri ini.
"Daripada RM74 juta itu, sebanyak RM7 juta adalah zakat fitrah. Kita bersyukur kerana kesedaran umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga itu kian meningkat dan melalui zakat, dapatlah kita membantu golongan yang memerlukan dan membasmi kemiskinan tegar.
''Kita juga bersyukur kerana dapat menambah jumlah bantuan kepada hospital untuk membantu pesakit yang kurang berkemampuan.
''Pesakit yang memerlukan kos perubatan yang tinggi atau peralatan perubatan boleh berjumpa dengan pihak hospital dan meminta bantuan tersebut yang diberikan MUIP," katanya.
Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan rumah asnaf dan bantuan agihan zakat serta merasmikan pembukaan Pejabat Penghulu Mukim Jenderak 1, dekat sini, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar, Penghulu Mukim Jenderak 1, Zainal Azman Bidin dan Kadi Daerah Temerloh, Shaharuddin Mohd. Nor.
Wan Abdul Wahid berkata, pihaknya bersama kerajaan negeri telah membina sebanyak 150 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu golongan miskin tegar.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihaknya memerlukan bantuan daripada jawatankuasa masjid, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan pemimpin setempat untuk memaklumkan kepada MUIP jika ada golongan yang memerlukan bantuan tersebut.
''MUIP akan menyiasat segala laporan yang diterima sebelum menyerahkan rumah PPRT itu kepada yang layak," katanya.
Bagi tujuan itu beliau memberitahu, MUIP mewujudkan pejabat cawangan di setiap daerah bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan majlis agama Islam itu.
"Golongan yang memerlukan bantuan ini boleh berjumpa dengan pegawai MUIP yang bertugas di cawangan supaya tindakan dapat diambil segera," ujarnya.

No comments:

Post a Comment