Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Thursday, February 10, 2011

Bantah bina turbin elektrik


TEMERLOH 10 Feb. - Penduduk Kampung Buntut Pulau dekat sini membantah rancangan sebuah syarikat yang terbabit dalam industri penjana tenaga bebas (IPP) untuk memasang turbin di Sungai Pahang bagi membekalkan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Mereka bimbang kerana ia akan menyebabkan kualiti air Sungai Pahang terjejas dan boleh mengancam mata pencarian lebih 200 nelayan sungai serta pengusaha ternakan ikan sangkar.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Muhammad Amin Nawawi, 26, berkata, syarikat terbabit tidak perlu berbuat demikian di kawasan berkenaan memandangkan bekalan elektrik di daerah ini mencukupi.
''Saya bimbang pemasangan turbin itu akan menjejaskan pendapatan pengusaha ikan sangkar dan nelayan sungai apabila kualiti air merosot kerana dicemari sisa buangan bahan kimia daripada turbin itu.
''Turbin tersebut bukan sahaja akan mengancam pendapatan nelayan sekitar kampung ini tetapi sepanjang Sungai Pahang bermula di tapak pembinaan turbin itu sehingga ke Maran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Salah seorang pengusaha ikan sangkar, Saharudin Ahmad, 27, berkata, mereka membantah projek berkenaan walaupun tidak mengetahui kesan jangka panjang kerana bimbang industri ternakan ikan sangkar sungai akan terjejas.
''Sekarang ini pun kami mengalami pelbagai masalah sampingan seperti makanan, persekitaran dan kualiti air yang selalu mengakibatkan ternakan mati.
''Jika projek itu dibenarkan kami khuatir ia akan mendatangkan kesan kepada persekitaran yang boleh menyebabkan kami mengalami kerugian besar dan seterusnya melumpuhkan industri itu," katanya.
Seorang nelayan sungai, Hashim Abdullah, 44, berharap kerajaan negeri membatalkan hasrat syarikat berkenaan kerana bimbang lebih banyak kesan buruk berlaku berbanding manfaat yang diperoleh oleh penduduk kawasan sekitar.
''Kerajaan perlu mengkaji lebih mendalam kesan daripada projek yang dicadangkan itu kerana ia merangkumi kesan terhadap ekonomi penduduk setempat, ekologi, persekitaran sungai dan alam sekitar.
"Penduduk yang bergantung hidup pada sungai bimbang jika ia diteruskan akan menyebabkan pencemaran yang boleh mengancam mata pencarian mereka," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Inovasi dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, kerajaan akan menimbang pelbagai aspek seperti alam sekitar dan pandangan rakyat sebelum meluluskan sesuatu projek.
''Kerajaan negeri ada menerima permohonan daripada syarikat terbabit untuk membina turbin di Sungai Pahang berhampiran Kampung Buntut Pulau bagi menjana kuasa elektrik untuk dibekalkan kepada TNB.
''Bagaimanapun permohonan itu belum diluluskan kerana belum ada laporan kajian impak alam sekitar dibuat dan pandangan penduduk kampung berkenaan mengenai projek tersebut," katanya.
Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat seperti slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kerajaan akan memastikan pandangan mereka diambil kira sebelum meluluskan projek pembinaan turbin berkenaan.

No comments:

Post a Comment