Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Saturday, February 12, 2011

400 Orang Asli peluk Islam



MOHAMED Jaafar (kiri) menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Islam Orang Asli di Lubuk Wong, baru-baru ini.


TEMERLOH 11 Feb. – Seramai 400 daripada 3,000 Orang Asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak dekat sini telah memeluk agama Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, jumlah itu membuktikan syiar Islam diterima baik oleh masyarakat kaum itu.
Menurut beliau, bagi memastikan mereka memahami agama Islam yang sebenar, beliau berharap Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bersama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memastikan saudara baru itu sentiasa mendapat tunjuk ajar daripada guru agama yang bertauliah.
Beliau berkata, saudara baru itu memerlukan didikan agama yang secukupnya dengan memberi penekanan kepada soal menunaikan solat, membaca al-Quran dan fardu ain untuk memantapkan lagi pemahaman mereka mengenai Islam.
“Kita gembira dan bersyukur kerana masyarakat Orang Asli di sini sudah mula menerima Islam sebagai agama dan pegangan hidup.
“Harapan diletakkan kepada PAID dan JAIP supaya dapat memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa serta memberikan bimbingan yang secukupnya.
“Beberapa kampung Orang Asli di sini sudah mempunyai surau seperti di Penderas dan Lubuk Wong. Dengan adanya surau ini, dapatlah beri peluang kepada mereka belajar agama serta menunaikan solat lima waktu secara berjemaah,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa hadir dalam majlis ramah mesra dan perjumpaan bersama masyarakat Islam Orang Asli di Kampung Lubuk Wong, Kala Krau, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Kadi Daerah, Zahari Daud dan Penghulu Mukim Jenderak, Zainal Azman Bidin.
Mohamed berkata, selain guru agama yang dilantik oleh kedua-dua agensi terbabit imam masjid di kampung berdekatan juga boleh membantu dalam memberikan tunjuk ajar dalam hal agama kepada saudara baru itu.
Katanya, sekiranya terdapat program keagamaan di masjid tidak salah jika mengajak sekali saudara baru tersebut menyertainya supaya mereka lebih mudah memahami Islam dan dapat mengeratkan lagi silaturahim.
“Bukan sahaja program keagamaan malah jika ada kenduri di kampung berdekatan juga boleh mengajak mereka untuk sama-sama bergotong-royong memasak serta menyediakan makanan kenduri itu.
“Mereka perlu didedahkan juga dengan amalan kemasyarakatan yang mengukuhkan lagi persaudaraan antara umat Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment