Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Thursday, February 10, 2011

Baik pulih segera masjid lama Kampung Bolok



masjid berusia 72 tahun di Kampung Bolok, Lanchang, Temerloh ini wajar dipagar dan dijaga kebersihannya sebagai bangunan warisan.


TEMERLOH 10 Feb. - Penduduk sekitar Kampung Bolok, Lanchang dekat sini berharap kerja-kerja baik pulih masjid lama di kampung itu dapat disiapkan segera memandangkan terdapat beberapa bahagian tertentu yang masih belum lagi dibaiki.
Masjid yang berusia 72 tahun itu telah diambil oleh Jabatan Warisan Negara untuk dibaik pulih memandangkan bangunan tersebut merupakan bangunan warisan.
Seorang penduduk kampung tersebut, Ahmad Solihin Wahid, 45, berkata, tapak masjid itu diserahkan kepada jabatan itu pada 10 Julai tahun lalu untuk kerja-kerja konservasi dan baik pulih.
"Kita harap pihak berkenaan menyegerakan kerja-kerja baik pulih masjid itu kerana sudah ada kerosakan yang dipercayai dilakukan oleh kanak-kanak.
"Kawasan persekitaran masjid itu yang tidak berpagar juga membolehkan sesiapa sahaja memasukinya.
"Persekitaran masjid dilihat sudah mula dipenuhi sampah sarap dan meminta pihak berkenaan mengambil berat akan perkara itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia ke masjid itu mendapati memang wajar masjid itu dipelihara kerana pembinaannya yang masih kukuh, tidak dimakan anai-anai dan tiada paku digunakan bagi pembinaan bangunan itu.
Utusan Malaysia juga difahamkan masjid ini dibina oleh Allahyarham Aki Jalaluddin, Aki Wok dan dua orang lagi adik-beradik. Mereka membina masjid ini menggunakan kayu yang dicari dari hutan berhampiran.
Selain itu, pahlawan terbilang Pahang, Mat Kilau bersama pengikutnya dikatakan pernah singgah di masjid ini untuk menunaikan solat sebelum menyambung semula perjalanan bagi menentang penjajah.
Ahmad Solihin berkata, dia berharap pihak berkenaan mempercepatkan proses baik pulih masjid itu dan membukanya untuk tatapan orang ramai terutama pelancong luar negara mengenai perkembangan Islam di kawasan ini.
Katanya, masjid itu terletak di jalan utama menuju ke Pusat Pemuliharaan Gajah, Kuala Gandah dan pihak terbabit boleh menjadikan masjid tersebut sebagai salah satu produk pelancongan di Lanchang.
"Kita berharap pihak berkaitan membina papan tanda yang jelas mengenai sejarah masjid tersebut dan memaparkan gambar lama masjid ini sebelum diubah suai.
"Seorang penjaga juga perlu dilantik bagi menjaga masjid ini supaya ia sentiasa bersih dan ceria," katanya.

No comments:

Post a Comment