Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Tuesday, February 8, 2011

Bantuan baja kepada petani usaha tanah terbiar


TEMERLOH 8 Feb. - Kerajaan bersedia menyalurkan bantuan baja kepada petani sebagai galakan untuk mereka mengusahakan tanah terbiar dengan pelbagai tanaman komersial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, kerajaan melalui Jabatan Pertanian juga sedia memberikan khidmat nasihat kepada petani yang mengusahakan tanah terbiar.
"Kita lihat pemberian baja kepada petani yang berjaya ini merupakan satu langkah yang baik apabila ia secara tidak langsung memberi motivasi kepada petani lain untuk sama-sama berusaha meningkatkan hasil pertanian mereka.
"Pemberian baja seperti baja organik sangat diperlukan oleh petani. Kita harap selepas ini lebih ramai petani mengusahakan tanah terbiar masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis 'Moh Makan Jagung Sepetang Bersama Penduduk Chatin' dan pemberian baja kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chatin di Mentakab, dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Penghulu Mukim Mentakab II, Khaidhir Azly Daharudin.
Boon Seong berkata, pihaknya kagum dengan usaha JKKK Chatin yang berjaya mengusahakan tanaman jagung di kawasan terbiar di kampung tersebut.
Menurut beliau, program 'Rakan Kebun Anda' yang dijalankan Jabatan Pertanian sangat bermanfaat kepada petani kerana mereka boleh mendapatkan semua maklumat mengenai penjagaan, penanaman dan teknik tanaman yang betul.
"Ia secara tidak langsung menjadikan Jabatan Pertanian sebagai rakan komuniti dalam memajukan sektor pertanian.
''Ia juga dapat memperkenalkan teknologi baru pertanian untuk meningkatkan produktiviti petani," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, tiada alasan untuk petani tidak berjaya kerana Jabatan Pertanian bukan sahaja memberikan khidmat nasihat malah, turun padang melihat perkembangan hasil pertanian mereka.
''Jika terdapat sebarang masalah seperti serangan penyakit, ulat dan sebagainya pihak tersebut akan segera membantu menyelesaikannya," katanya.

No comments:

Post a Comment