Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Monday, January 31, 2011

Stadium Temerloh layak untuk Liga FAM


TEMERLOH 30 Jan. - Peminat bola sepak di daerah ini bakal berpeluang menyaksikan perlawanan yang lebih berkualiti apabila Stadium Temerloh di sini bakal dijadikan gelanggang bagi pasukan Shahzan Muda untuk aksi Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim ini.
Selepas melalui beberapa pemeriksaan oleh FAM sejak dua tahun lalu, badan induk bola sepak tempatan itu berpuas hati dengan keadaan stadium tersebut.
Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (Jkpt) FAM, Datuk Dr. Omar Othman berkata, hasil pemeriksaan itu, pencahayaan yang dihasilkan oleh lampu limpah stadium tersebut melepasi paras minimum iaitu 800 lux sebagaimana yang ditetapkan.
Menurutnya, pencahayaan yang dihasilkan di Stadium Temerloh kini mencecah 1,156 lux iaitu kurang 100 lux bagi penganjuran kejohanan peringkat antarabangsa.
''Tiada masalah dari segi pencahayaan kerana ia melepasi standard ditetapkan. Dari segi padang pula, kita telah menjalankan pemeriksaan baru-baru ini.
''Kita memperakui Stadium Temerloh boleh dijadikan venue bagi pertandingan Liga FAM namun keputusan penuh hanya diputuskan Jawatankuasa Pertandingan Liga Tempatan FAM," katanya ketika ditemui selepas memeriksa keadaan Stadium Temerloh semalam.
Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Akbar Abu dan Presiden Persatuan Bola Sepak Temerloh (PBST), Datuk Dr. Sallehuddin Ishak.
Sementara itu, Akbar melahirkan rasa syukur apabila Stadium Temerloh yang boleh memuatkan 4,000 penonton layak dipilih sebagai tempat pertandingan Liga FAM.
Beliau berterima kasih kepada FAM yang selama ini memberikan bimbingan dan nasihat dari segi teknikal bagi memastikan Stadium Temerloh dipilih menjadi gelanggang perlawanan.
"Saya juga berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang banyak mengeluarkan peruntukan dan tenaga bagi memastikan kejayaan ini.
"Ini juga adalah cetusan idea Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah untuk membawa perlawanan diadakan di sini," katanya.
Sallehuddin pula berkata, pihaknya difahamkan pertandingan pertama Liga FAM membabitkan pasukan Shahzan Muda akan diadakan pada pertengahan bulan depan.
''Stadium ini akan menjadi venue perlawanan hampir setiap minggu," katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor, bagi memastikan keselamatan penonton, seramai 50 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan berkawal pada setiap perlawanan diadakan.
''Kita memberi jaminan keselamatan penonton yang hadir dan juga keselamatan pengguna jalan raya lain.
''Lencongan arah trafik akan dibuat jika perlawanan berlangsung melibatkan laluan ke stadium tanpa mengubah aliran trafik dalam bandar," katanya.

No comments:

Post a Comment