Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Wednesday, January 5, 2011

Kejayaan KRT disokong jiran wanita



Saifuddin Abdullah (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi KRT Taman Bahagia, M. Taha Marjan yang memenangi KRT Terbaik peringkat Pahang di Taman Bahagia, Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 5 Jan. – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) tidak akan mencapai kejayaan jika tiada penyertaan jiran wanita yang mengelola dan menguruskan segala keperluan badan tersebut.
Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau berharap KRT dan jiran wanita daerah ini akan bekerjasama dalam memastikan setiap kegiatan yang direncanakan berjalan lancar di kawasan perumahan masing-masing.
“Kita berbangga kerana KRT Taman Bahagia dipilih sebagai KRT terbaik peringkat negeri 2010 dan ia merupakan pembakar semangat kepada KRT lain untuk sama-sama mencapai kejayaan itu.
“Bukan mudah untuk mencapai kejayaan itu kerana banyak perkara perlu dilaksanakan seperti mengadakan program setiap bulan, perpaduan dan hubungan dengan jabatan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dan meraikan kejayaan KRT Taman Bahagia dekat sini semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, kedua-dua pihak terlibat juga perlu memastikan jiran muda mempunyai kegiatan tersendiri terutama aktiviti sukan.
Katanya, pertubuhan itu tidak boleh mengabaikan jiran muda kerana bimbang mereka terjebak dalam kegiatan tidak bermoral seperti penagihan dadah, pergaulan bebas, merempit dan sebagainya.
“Selain sukan kita minta KRT adakan program seperti kem solat, ibadat, kelas kompang dan sebagainya supaya masa terluang remaja di setiap KRT dipenuhi dengan kegiatan yang berfaedah,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment