Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Friday, January 21, 2011

20 lokasi sejarah dibaik pulih


TEMERLOH 21 Jan. – Kerajaan negeri mengenal pasti kira-kira 20 lokasi bersejarah yang akan dibangunkan dan dibaikpulih dalam usaha menambah kawasan pelancongan sedia ada di daerah ini.
Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama Tourism Malaysia Pahang, Pejabat Tanah Daerah dan Majlis Perbandaran Temerloh bagi tujuan itu.
Menurutnya, daerah itu mempunyai pelbagai lokasi bersejarah yang masih kurang dikenali bukan sahaja pelancong luar malah generasi baru yang menetap di sini.
“Sebagai contoh, masjid Kampung Raja Songsang yang berusia hampir satu abad dan mempunyai sejarah tersendiri akan dibaik pulih selepas ini.
“Lokasi bersejarah itu diletakkan papan tanda dan maklumat berkaitan sejarah yang boleh ditonton dan panduan orang ramai ketika mengunjunginya,” katanya ketika ditemui pada gotong-royong Jejak Sejarah Temerloh di tapak masjid lama Kampung Raja, Songsang, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr. Salehuddin Ishak; Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Anuar Abd. Rahman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abd. Rahman.
Dalam perkembangan sama, Anuar berkata, pihaknya bercadang menjadikan mukim Songsang di Temerloh sebagai destinasi pelancongan baru.
Menurutnya, ia berdasarkan terdapat daya tarikan di kawasan berkenaan seperti perkampungan Melayu tradisional yang masih dikekalkan selain mempunyai sebuah masjid lama berusia hampir seabad.
“Kita mengharapkan kerjasama pejabat daerah dan MPT menjadikan mukim Songsang sebagai destinasi pelancongan baru di Temerloh,” katanya.
Sementara itu, Salehuddin berkata, peruntukan kira-kira RM200,000 diperlukan bagi membaik pulih masjid lama berkenaan.
Katanya, hanya 20 peratus struktur asal masjid itu boleh dikekalkan dan selebihnya memerlukan bahan baru tanpa mengubah struktur asal binaan.

No comments:

Post a Comment