Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Thursday, January 6, 2011

Rela Temerloh kini punyai lebih 11,000 ahli



Abd. Rashid Mat Bashir menyampaikan kad ahli Rela kepada seorang ahli baru di Taman Perumahan KSM Mentakab, Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 6 Jan. - Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Temerloh kini mempunyai seramai lebih 11,000 ahli berdaftar sehingga 31 Disember lalu.
Pegawai Rela Daerah, Leftenan Kolonel Abd. Rashid Mat Bashir berkata, jumlah itu meningkat seramai 3,000 berbanding 8,000 orang pada 2009.
Menurutnya, bilangan ahli kaum Melayu ialah seramai 6,605 orang diikuti Cina seramai 2,200 orang, India (1,388 orang) dan Orang Asli (1,083 orang).
"Usaha yang dilakukan di peringkat daerah sejajar dengan slogan Kementerian Dalam Negeri yang mahukan satu kampung, satu taman dan satu Rela untuk meningkatkan ahli ke tahap 2.5 juta orang.
"Pertambahan ahli yang sangat menggalakkan bagi daerah ini dianggap satu perkembangan sihat berbanding setahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kad ahli Rela baru di Taman KSM di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Platun Rela KSM, Khoo Nyok Lin.
Abd. Rashid berkata, mana-mana kampung dan taman perumahan dalam daerah ini yang belum menubuhkan pasukan Rela diminta berbuat demikian dengan segera bagi manfaat penduduk setempat.
Menurut beliau, pihaknya mengenakan syarat yang longgar untuk menubuhkan platun Rela.
''Hanya dengan seramai 33 ahli, sesebuah kawasan boleh menubuh platun Rela. Anggota Rela turut menerima pelbagai faedah lain seperti perlindungan insurans percuma.
''Kita amat mengalu-alukan penyertaan golongan belia dalam Rela yang dilihat masih kurang berminat menyertai pasukan beruniform ini," katanya.

No comments:

Post a Comment