Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Wednesday, January 12, 2011

Kagum kejayaan basmi kemiskinan



Peserta melihat kerja-kerja membungkus madu lebah di Taman Bukit Cermin.


TEMERLOH 12 Jan. - Deograstias Musoke, 35, dari Uganda merasa kagum melihat seorang pengusaha madu lebah tualang di Taman Bukit Cermin, Mohd. Hanapi Ramli, 43, berjaya menjalankan perniagaannya walaupun dibuat secara kecil-kecilan.
Selain Deograstias, 28 lagi peserta dari 20 buah negara dunia ketiga turut kagum melihat bagaimana kejayaan dasar kerajaan Malaysia menghapuskan kemiskinan di kalangan penduduk luar bandar.
Mereka terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan bukan kerajaan dari negara dunia ketiga yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan polisi negara penerima bantuan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM) dan negara-negara Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Afro-Asia (AARDO).
Peserta tersebut datang dari Afghanistan, Bangladesh, India, Iran, Indonesia, Jordan, Laos, Lebanon, Malawi, Myanmar, Nigeria, Filipina, Sudan, Tajikistan, Tanzania, Syria, Pakistan dan Uganda.
Kesemua 29 peserta itu menyertai kursus selama dua minggu untuk mempelajari pengalaman Malaysia membantu rakyatnya yang miskin, hidup berdikari bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.
Kursus itu dilaksanakan oleh agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu Institut Kemajuan Desa (Infra) dengan kerjasama PKTM, Kementerian Luar dan AARDO, baru-baru ini.
Seramai 20 orang daripada mereka merupakan pegawai kanan kerajaan negara berkenaan yang mengikuti kursus 'Poverty Allevition Localising The Anti-Proverty Agenda: Malaysian Experience.'
Mereka diberikan kursus oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Felda, RISDA, Amahan Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Modul kursus tersebut merangkumi pembasmian kemiskinan daripada perspektif global dan strategi Malaysia, pemodenan dan perubahan luar bandar, pembangunan tanah, kelangsungan dan keseimbangan pertumbuhan.
Mereka turut didedahkan dengan mekanisme perancangan, penyelarasan, pemantauan dan penilaian, strategi dan instrumen terpilih dalam pertanian moden, pengurusan, penyertaan petani dan pengehakupayaan dalam pasaran ekonomi serta pembentukan pelan tindakan.
Kejayaan Malaysia membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar amat menarik perhatian negara-negara dunia ketiga yang ingin menjadikan pengalaman itu sebagai model untuk dicontohi dan dilaksanakan di negara masing-masing.
Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia tidak pernah lokek untuk berkongsi pengalaman bagi membantu negara dunia ketiga menghapuskan kemiskinan di kalangan rakyat luar bandar di negara terbabit.
Rata-rata mereka kagum melihat usaha yang dijalankan Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan penduduk luar bandar menerusi pelbagai projek untuk membebaskan diri mereka daripada kemiskinan menerusi program kemahiran, keusahawanan dan perniagaan secara kecil-kecilan.
Seorang peserta dari Pakistan, Hassan Abbas Chaudhry, 41, berkata, pengalaman yang dilalui Malaysia boleh dijadikan model untuk menghapuskan kemiskinan di kalangan penduduk negaranya.
"Pengalaman Malaysia sangat berharga dan ia boleh dicontohi oleh negara-negara miskin untuk membangunkan rakyat mereka di luar bandar menerusi pelbagai program yang jitu.
"Saya cukup tertarik dengan program yang dilaksanakan oleh Malaysia kerana cara ia membantu rakyat miskin bukan hanya melalui bantuan semata-mata tetapi mengajar mereka untuk berdikari melalui keusahawanan dan perniagaan secara kecil-kecilan," katanya.
Seorang lagi peserta, Zaina Namaye, 38, dari Uganda merasa begitu teruja melihat keupayaan penduduk miskin negara ini yang mampu hidup berdikari setelah berjaya memanfaatkan segala ilmu serta peluang yang diberikan kerajaan.
"Saya merasa kagum melihat kaum wanita yang begitu gigih dan bersemangat berusaha membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.
"Apabila pulang nanti, saya berharap dapat melaksanakan sebaik mungkin melalui kursus yang kami lalui ini kerana saya yakin pengalaman Malaysia sangat berguna untuk membantu penduduk miskin luar bandar di negara saya dapat hidup berdikari," katanya.
Sepanjang dua minggu berada di negara ini, para peserta terbabit dibawa melawat menara berkembar Petronas di Kuala Lumpur selain mengunjungi beberapa projek yang diusahakan oleh peserta luar bandar di Pahang.
Antara yang dilawati ialah melihat pembuatan perusahaan makanan oleh peserta AIM di Karak dan Felda Lurah Bilut di Bentong.
Selain itu, mereka turut dibawa melawat projek di Temerloh iaitu Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Lanchang, Kemas, perusahaan madu lebah di Bukit Cermin, kraf tangan tradisional di Kampung Sanggang, dan Santuari Kebangsaan Gajah di Kuala Gandah.
Mereka menyifatkan lawatan tersebut sangat berguna kerana dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam membangunkan kawasan luar bandar sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan.

No comments:

Post a Comment