Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Monday, January 10, 2011

Pusat pengumpulan, pemprosesan bakal dibina


TEMERLOH 10 Jan. - Pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri untuk menjadikan daerah ini sebagai pengeluar utama ikan patin bagi pasaran domestik dan eksport.
Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan ikan patin bakal dibina di daerah ini di kawasan seluas satu hektar bernilai RM500,000 bagi menggalakkan industri itu.
Menurut beliau, pusat tersebut bakal dilengkapi sebuah kilang pemprosesan dan pembungkusan ikan patin.
"Industri ikan patin bukan hanya mengenai makanan tradisional seperti masak tempoyak semata-mata, ia perlu dipelbagaikan dengan menghasilkan makanan ringan, filet, bebola ikan dan serunding," katanya kepada kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau mengulas industri ternakan ikan patin yang semakin berkembang pesat di daerah ini sehingga berjaya menarik ramai pelancong.
Saifuddin memberitahu, populariti Temerloh yang selalu dikaitkan dengan masakan ikan patin juga berpotensi menjadikan ia sebagai daerah pelancongan domestik dan antarabangsa malah, mampu menjana perkembangan ekonomi sekitar.
Tambah beliau, ikan patin Temerloh kini berjaya menembusi pasaran Dubai, Arab Saudi dan United Kingdom walaupun bekalan semasa sebanyak 50 tan metrik setiap bulan masih tidak mampu memenuhi permintaan dalam negara.
"Ikan patin dari Temerloh mempunyai kualiti dan rasa tersendiri sehingga berjaya menarik ramai penggemar dari luar termasuk Kuala Lumpur dan negeri lain untuk menikmati keenakan masakan," ujarnya.
Katanya, jika usaha itu digerakkan secara bersepadu antara penduduk dengan penternak, Temerloh berupaya untuk dikenali sebagai pengeluar ikan patin terbaik di mata dunia.

No comments:

Post a Comment