Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Monday, January 10, 2011

Penangan patin Temerloh


Penternak ikan, Abdul Halim Ismail menternak ikan patin di dalam sangkar di Kampung Pangsenam, Temerloh, Pahang. - utusan/RUSHDI SALLEH


TEMERLOH 10 Jan. - Ikan patin atau nama saintifiknya Pangasius Lanaurdi Bocourt adalah spesies ikan air tawar jenis meserba yang mendiami sungai dan lombong.
Bentuk fizikal utamanya adalah mempunyai dua sengat di kiri dan kanan serta satu di belakang bahagian badan, tidak bersisik dan lembut.
Saiznya boleh mencecah satu meter panjang dan beratnya boleh menjangkau 20 kilogram.
Makanan utama spesies tersebut adalah anak-anak ikan, buah-buahan sungai dan udang.
Di Pahang, kawasan yang paling sinonim dengan ikan patin adalah daerah Temerloh.
Populariti ikan eksotik itu menyebabkan ia menjadi hidangan wajib di kebanyakan kedai makan, restoran dan hotel di daerah ini.
Industri ikan patin sangkar di Temerloh boleh dilihat di sepanjang Sungai Pahang.
Dianggarkan terdapat lebih 100 sangkar ikan patin yang memberi peluang ekonomi kepada penduduk menceburi bidang akuakultur.
Ikan patin Temerloh sama seperti yang terdapat di negara Asia Tenggara.
Ia merupakan sejenis ikan air tawar tanpa sisik yang hampir menyerupai ikan keli.
Kulit ikan itu pula kebiasaannya berwarna perak, putih kebiru-biruan. Di Thailand, patin dikenali sebagai basa.
Patin lazimnya hidup di lubuk air deras dan kawasan yang terdapat banyak rumpai air atau lumut sebagai sumber makanan.
Berikutan popularitinya dan keenakannya, menternak ikan patin sangkar adalah perniagaan yang menguntungkan di Temerloh.
Bekalan ikan patin sentiasa dicari sama ada di pasar atau pekan sehari, pasar raya atau di gerai-gerai ikan air tawar di sepanjang Sungai Pahang.
Menurut seorang penternak, Abdul Halim Ismail, 45, permintaan terhadap ikan patin adalah luar biasa jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di Pahang.
Katanya, sambutan luar biasa tersebut menyebabkan para penternak patin kadangkala tidak 'menang tangan' untuk memenuhi permintaan.
"Saya sendiri menternak 1,200 ekor patin pada satu-satu masa dalam tempoh lapan bulan dan membekalkan sekitar 600 kilogram ikan patin setiap bulan untuk memenuhi permintaan suri rumah dan pengusaha restoran," katanya ketika ditemui di Kampung Pangsenam di sini baru-baru ini.
Menurut Abdul Halim, ikan patin liar mempunyai harga yang agak mahal kerana ia mempunyai pasarannya yang tersendiri.
Seorang lagi penjual ikan patin, Mohd. Izahari Zakaria, 40, berkata, ikan patin sangkar mempunyai banyak keistimewaannya.
"Ia berbeza dengan ikan patin yang diternak di dalam kolam. Lazimnya, ikan patin yang diternak dalam kolam mempunyai rasa lumpur dan hanyir," jelasnya.
Sebaliknya, jelas beliau, ikan yang dipelihara di dalam sangkar yang membesar dalam Sungai Pahang rasanya jauh lebih enak berbanding spesies sama yang hidup meliar di sungai-sungai negara ini.
Tambahnya, ikan patin sangkar dijual pada harga RM14 sekilogram manakala ikan patin liar dijual antara RM80 dan RM200 sekilogram mengikut jenis.
Sementara itu, seorang pengusaha gerai ikan patin, Muhamad Alimi Adnan, 40, berkata, rasa ikan patin lebih manis apabila dicampurkan dengan sedikit tempoyak.
"Sama ada masakan itu berkuah atau dipanggang, patin lebih sedap jika ditambah sedikit tempoyak dalam masakan," katanya.
Menurutnya, rasa ikan patin memang berbeza dengan ikan air tawar yang lain.
"Kebanyakan penggemar pula sangat suka makan bahagian perut ikan patin yang hanya mengandungi lemak tanpa isi.
"Menurut kata orang-orang lama, lemak di bahagian perut ikan itu membantu melembapkan kulit wajah dan melambatkan kedutan serta mengatasi masalah jerawat," katanya.

No comments:

Post a Comment