Jadi lah orang yang cergaih jangan hampuraih !

Monday, January 31, 2011

Majelis meraikan rodong2



Tuan punyer majelis Abg Jas dan Kok Piyoh yg tengoh gelisoh menanti kan kehadiran tetamu yg masih x sampei2 lagi...Sesok jugek gayer nyer tu..
Antara  jenis pemakan yg di sediakan oleh tuan rumoh yg mana semer nyer di masok oleh kok Piyoh dan Abg Jas..Menkala lah rodong x datang teruk abg Jas ngan kok Piyoh nok ngabiskan...
 Bila rodong2 dah muncul baru lah Kok piyoh reti nok senyum...kenalah pulok rodong2 datang sendondong jek....makin lebor lah senyum nyer...
 Tanpa berlengoh lagi rodong2 terus di suruh ngambik makanan dulu....apa2 hei makan dulu....dah kenyang karang baru kita borok pulok....
 Sedak ngat nengok ke rodong2 berjamu....
Sambil makan dan lagi bergurau senda...
Hasil dari ladang..Dispeponserkan oleh Noraina manaf...Muroh rezeki...
Nah sebiji sorang..ander lebih karang koii bagi lagi...
Tetamu2 bertuoh..

Apa2 pun sebelom awokmer balik kita bergambor lah dulu....Jangan lupakan tradisi TU..

Jutaan tahnioh dan terima kasih kepada Abg Jas dan Kok Piyoh kerana sudi mengadakan majelis sarapan pagi
dan meraikan rodong2 Temerloh United. Semoga muroh rezeki sokmo...

Stadium Temerloh layak untuk Liga FAM


TEMERLOH 30 Jan. - Peminat bola sepak di daerah ini bakal berpeluang menyaksikan perlawanan yang lebih berkualiti apabila Stadium Temerloh di sini bakal dijadikan gelanggang bagi pasukan Shahzan Muda untuk aksi Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim ini.
Selepas melalui beberapa pemeriksaan oleh FAM sejak dua tahun lalu, badan induk bola sepak tempatan itu berpuas hati dengan keadaan stadium tersebut.
Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (Jkpt) FAM, Datuk Dr. Omar Othman berkata, hasil pemeriksaan itu, pencahayaan yang dihasilkan oleh lampu limpah stadium tersebut melepasi paras minimum iaitu 800 lux sebagaimana yang ditetapkan.
Menurutnya, pencahayaan yang dihasilkan di Stadium Temerloh kini mencecah 1,156 lux iaitu kurang 100 lux bagi penganjuran kejohanan peringkat antarabangsa.
''Tiada masalah dari segi pencahayaan kerana ia melepasi standard ditetapkan. Dari segi padang pula, kita telah menjalankan pemeriksaan baru-baru ini.
''Kita memperakui Stadium Temerloh boleh dijadikan venue bagi pertandingan Liga FAM namun keputusan penuh hanya diputuskan Jawatankuasa Pertandingan Liga Tempatan FAM," katanya ketika ditemui selepas memeriksa keadaan Stadium Temerloh semalam.
Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Akbar Abu dan Presiden Persatuan Bola Sepak Temerloh (PBST), Datuk Dr. Sallehuddin Ishak.
Sementara itu, Akbar melahirkan rasa syukur apabila Stadium Temerloh yang boleh memuatkan 4,000 penonton layak dipilih sebagai tempat pertandingan Liga FAM.
Beliau berterima kasih kepada FAM yang selama ini memberikan bimbingan dan nasihat dari segi teknikal bagi memastikan Stadium Temerloh dipilih menjadi gelanggang perlawanan.
"Saya juga berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang banyak mengeluarkan peruntukan dan tenaga bagi memastikan kejayaan ini.
"Ini juga adalah cetusan idea Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah untuk membawa perlawanan diadakan di sini," katanya.
Sallehuddin pula berkata, pihaknya difahamkan pertandingan pertama Liga FAM membabitkan pasukan Shahzan Muda akan diadakan pada pertengahan bulan depan.
''Stadium ini akan menjadi venue perlawanan hampir setiap minggu," katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor, bagi memastikan keselamatan penonton, seramai 50 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan berkawal pada setiap perlawanan diadakan.
''Kita memberi jaminan keselamatan penonton yang hadir dan juga keselamatan pengguna jalan raya lain.
''Lencongan arah trafik akan dibuat jika perlawanan berlangsung melibatkan laluan ke stadium tanpa mengubah aliran trafik dalam bandar," katanya.

Wednesday, January 26, 2011

Polis tubuh peronda sungai atasi kegiatan curi ikan sangkar


TEMERLOH 26 Jan. - Polis menubuhkan pasukan khas untuk meronda di sepanjang Sungai Semantan dan Sungai Pahang di daerah ini bagi membanteras kegiatan mencuri ikan sangkar di kedua-dua sungai tersebut yang dilaporkan semakin menjadi-jadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Noor Mansor berkata, pasukan yang terdiri daripada enam anggota akan menggunakan dua bot dan meronda setiap masa terutama pada waktu malam.
Katanya, terdapat kira-kira 1,000 hingga 1,500 sangkar membabitkan lebih sejuta ekor ikan patin dan tilapia bernilai lebih RM1.8 juta diternak oleh 115 pengusaha di sepanjang sungai-sungai itu.
''Ikan-ikan yang diternak dalam sangkar di kedua-dua sungai tersebut sejak sekian lama mendapat pasaran baik di dalam dan luar negara.
''Minggu lalu penternak ikan di Kampung Teluk Ira dan Kuala Krau dicuri membabitkan kerugian lebih RM30,000 yang dipercayai dicuri pada waktu malam dan awal pagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kegiatan mencuri ikan dalam sangkar di daerah ini yang semakin menjadi-jadi mengakibatkan kerugian mencecah hampir RM30,000 sejak tiga bulan lalu.
Menurut Mohd. Noor, pihak jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan penduduk perlu bekerjasama dengan polis bagi membanteras kegiatan tersebut selain meminta penternak ikan memasang lampu sekitar kawasan sangkar ikan atau menyalakan unggun api.
Kata beliau, lazimnya pencuri akan berasa takut apabila ternampak unggun atau kilauan api di kawasan sasaran mereka.
Tambahnya, hanya langkah tersebut yang boleh membanteras kegiatan mencuri selain rondaan yang dijalankan polis.
Sehubungan itu, beliau meminta penternak dan penduduk menubuhkan pasukan kawalan bagi membantu polis menangani kegiatan tersebut.
Beliau turut meminta JKKK, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), penduduk dan menternak turut menjalankan rondaan bersepadu dan melaporkan kepada polis jika ternampak pihak yang mencurigai memasuki kawasan masing-masing.
Polis tambahnya, tidak boleh mengambil sebarang tindakan jika tiada laporan dibuat oleh penternak apabila ikan-ikan sangkar mereka dicuri.

Friday, January 21, 2011

20 lokasi sejarah dibaik pulih


TEMERLOH 21 Jan. – Kerajaan negeri mengenal pasti kira-kira 20 lokasi bersejarah yang akan dibangunkan dan dibaikpulih dalam usaha menambah kawasan pelancongan sedia ada di daerah ini.
Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama Tourism Malaysia Pahang, Pejabat Tanah Daerah dan Majlis Perbandaran Temerloh bagi tujuan itu.
Menurutnya, daerah itu mempunyai pelbagai lokasi bersejarah yang masih kurang dikenali bukan sahaja pelancong luar malah generasi baru yang menetap di sini.
“Sebagai contoh, masjid Kampung Raja Songsang yang berusia hampir satu abad dan mempunyai sejarah tersendiri akan dibaik pulih selepas ini.
“Lokasi bersejarah itu diletakkan papan tanda dan maklumat berkaitan sejarah yang boleh ditonton dan panduan orang ramai ketika mengunjunginya,” katanya ketika ditemui pada gotong-royong Jejak Sejarah Temerloh di tapak masjid lama Kampung Raja, Songsang, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr. Salehuddin Ishak; Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Anuar Abd. Rahman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abd. Rahman.
Dalam perkembangan sama, Anuar berkata, pihaknya bercadang menjadikan mukim Songsang di Temerloh sebagai destinasi pelancongan baru.
Menurutnya, ia berdasarkan terdapat daya tarikan di kawasan berkenaan seperti perkampungan Melayu tradisional yang masih dikekalkan selain mempunyai sebuah masjid lama berusia hampir seabad.
“Kita mengharapkan kerjasama pejabat daerah dan MPT menjadikan mukim Songsang sebagai destinasi pelancongan baru di Temerloh,” katanya.
Sementara itu, Salehuddin berkata, peruntukan kira-kira RM200,000 diperlukan bagi membaik pulih masjid lama berkenaan.
Katanya, hanya 20 peratus struktur asal masjid itu boleh dikekalkan dan selebihnya memerlukan bahan baru tanpa mengubah struktur asal binaan.

Wednesday, January 19, 2011

PETUA LAGI

Susah Tidur

Jika diserang sakit tidak dapat tidur lena pada setiap malam, memang merunsingkan.Badan akan terasa sakit-sakit dan lemah pada sebelah siang.Selalu menguap dan mengantuk.Dalam perkara ini dinasihatkan supaya mencari buah pala.Buah pala itu diparut secukupnya lalu dicampurkan dengan sedikit air.Kemudian ditekapkan pada bahagian ubun-ubun di kepala.Dengan izin Allah, orang yang mengalami hal ini akan tidur

Mengurangkan Dengkur

Tumbuk lumat tujuh biji badam dan campurkan ke dalam segelas susu panas. minumlah beberapa minit sebelum tidur.

PETUA LAGI

Pakaian Terkena Cat

Rendamkan pakaian dengan minyak tanah terlebih dahulu. Biarkan beberapa jam, kemudian cuci dengan air sabun. Bilas seperti biasa.

Menghilangkan Karat Kepada Pakaian

Perahkan air limau nipis ke dalam bekas berisi satu sudu kecil garam halus.kacau hingga sebati dan sapukan kepada pakaian yang terkena karat. biarkan beberapa minit sebelum dibubuhkan sabun dan diberus seperti biasa.

Hilangkan Kesan Minyak

Kesan tompokan minyak yang terkena pada pakaian berwarna putih memang sukar dihilangkan. Kerap kali juga kita menggunakan bahan peluntur sehingga ada yang memudarkan warna pakaian tetapi kesan tompokan minyak tidak juga hilang. Cara mudah untuk mengatasinya ialah sapukan sedikit marjerin pada pakaian yang terkena tompokan minyak, biarkan seketika barulah dicuci seperti biasa.

Tuesday, January 18, 2011

400 Orang Asli DUN Jenderak peluk Islam



MOHAMED Jaafar (kiri) menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Islam Orang Asli di Kampung Lubuk Wong, Kuala Krau, Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 18 Jan. - Dianggarkan kira-kira 400 Orang Asli daripada 3,000 orang kaum itu di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak telah memeluk Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh bersama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan memastikan saudara baru itu sentiasa mendapat tunjuk ajar daripada guru agama bertauliah secara tersusun.
Katanya, mereka memerlukan didikan agama secukupnya tentang soal menunaikan solat, membaca al-Quran dan fardu ain bagi memantapkan pemahaman mereka mengenai Islam.
"Kita gembira dan bersyukur kerana masyarakat Orang Asli di sini sudah mula menerima Islam sebagai agama dan pegangan hidup.

Wednesday, January 12, 2011

Kagum kejayaan basmi kemiskinan



Peserta melihat kerja-kerja membungkus madu lebah di Taman Bukit Cermin.


TEMERLOH 12 Jan. - Deograstias Musoke, 35, dari Uganda merasa kagum melihat seorang pengusaha madu lebah tualang di Taman Bukit Cermin, Mohd. Hanapi Ramli, 43, berjaya menjalankan perniagaannya walaupun dibuat secara kecil-kecilan.
Selain Deograstias, 28 lagi peserta dari 20 buah negara dunia ketiga turut kagum melihat bagaimana kejayaan dasar kerajaan Malaysia menghapuskan kemiskinan di kalangan penduduk luar bandar.
Mereka terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan bukan kerajaan dari negara dunia ketiga yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan polisi negara penerima bantuan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM) dan negara-negara Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Afro-Asia (AARDO).
Peserta tersebut datang dari Afghanistan, Bangladesh, India, Iran, Indonesia, Jordan, Laos, Lebanon, Malawi, Myanmar, Nigeria, Filipina, Sudan, Tajikistan, Tanzania, Syria, Pakistan dan Uganda.
Kesemua 29 peserta itu menyertai kursus selama dua minggu untuk mempelajari pengalaman Malaysia membantu rakyatnya yang miskin, hidup berdikari bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.
Kursus itu dilaksanakan oleh agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu Institut Kemajuan Desa (Infra) dengan kerjasama PKTM, Kementerian Luar dan AARDO, baru-baru ini.
Seramai 20 orang daripada mereka merupakan pegawai kanan kerajaan negara berkenaan yang mengikuti kursus 'Poverty Allevition Localising The Anti-Proverty Agenda: Malaysian Experience.'
Mereka diberikan kursus oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Felda, RISDA, Amahan Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Modul kursus tersebut merangkumi pembasmian kemiskinan daripada perspektif global dan strategi Malaysia, pemodenan dan perubahan luar bandar, pembangunan tanah, kelangsungan dan keseimbangan pertumbuhan.
Mereka turut didedahkan dengan mekanisme perancangan, penyelarasan, pemantauan dan penilaian, strategi dan instrumen terpilih dalam pertanian moden, pengurusan, penyertaan petani dan pengehakupayaan dalam pasaran ekonomi serta pembentukan pelan tindakan.
Kejayaan Malaysia membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar amat menarik perhatian negara-negara dunia ketiga yang ingin menjadikan pengalaman itu sebagai model untuk dicontohi dan dilaksanakan di negara masing-masing.
Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia tidak pernah lokek untuk berkongsi pengalaman bagi membantu negara dunia ketiga menghapuskan kemiskinan di kalangan rakyat luar bandar di negara terbabit.
Rata-rata mereka kagum melihat usaha yang dijalankan Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan penduduk luar bandar menerusi pelbagai projek untuk membebaskan diri mereka daripada kemiskinan menerusi program kemahiran, keusahawanan dan perniagaan secara kecil-kecilan.
Seorang peserta dari Pakistan, Hassan Abbas Chaudhry, 41, berkata, pengalaman yang dilalui Malaysia boleh dijadikan model untuk menghapuskan kemiskinan di kalangan penduduk negaranya.
"Pengalaman Malaysia sangat berharga dan ia boleh dicontohi oleh negara-negara miskin untuk membangunkan rakyat mereka di luar bandar menerusi pelbagai program yang jitu.
"Saya cukup tertarik dengan program yang dilaksanakan oleh Malaysia kerana cara ia membantu rakyat miskin bukan hanya melalui bantuan semata-mata tetapi mengajar mereka untuk berdikari melalui keusahawanan dan perniagaan secara kecil-kecilan," katanya.
Seorang lagi peserta, Zaina Namaye, 38, dari Uganda merasa begitu teruja melihat keupayaan penduduk miskin negara ini yang mampu hidup berdikari setelah berjaya memanfaatkan segala ilmu serta peluang yang diberikan kerajaan.
"Saya merasa kagum melihat kaum wanita yang begitu gigih dan bersemangat berusaha membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.
"Apabila pulang nanti, saya berharap dapat melaksanakan sebaik mungkin melalui kursus yang kami lalui ini kerana saya yakin pengalaman Malaysia sangat berguna untuk membantu penduduk miskin luar bandar di negara saya dapat hidup berdikari," katanya.
Sepanjang dua minggu berada di negara ini, para peserta terbabit dibawa melawat menara berkembar Petronas di Kuala Lumpur selain mengunjungi beberapa projek yang diusahakan oleh peserta luar bandar di Pahang.
Antara yang dilawati ialah melihat pembuatan perusahaan makanan oleh peserta AIM di Karak dan Felda Lurah Bilut di Bentong.
Selain itu, mereka turut dibawa melawat projek di Temerloh iaitu Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Lanchang, Kemas, perusahaan madu lebah di Bukit Cermin, kraf tangan tradisional di Kampung Sanggang, dan Santuari Kebangsaan Gajah di Kuala Gandah.
Mereka menyifatkan lawatan tersebut sangat berguna kerana dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam membangunkan kawasan luar bandar sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan.

Monday, January 10, 2011

Pusat pengumpulan, pemprosesan bakal dibina


TEMERLOH 10 Jan. - Pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri untuk menjadikan daerah ini sebagai pengeluar utama ikan patin bagi pasaran domestik dan eksport.
Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan ikan patin bakal dibina di daerah ini di kawasan seluas satu hektar bernilai RM500,000 bagi menggalakkan industri itu.
Menurut beliau, pusat tersebut bakal dilengkapi sebuah kilang pemprosesan dan pembungkusan ikan patin.
"Industri ikan patin bukan hanya mengenai makanan tradisional seperti masak tempoyak semata-mata, ia perlu dipelbagaikan dengan menghasilkan makanan ringan, filet, bebola ikan dan serunding," katanya kepada kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau mengulas industri ternakan ikan patin yang semakin berkembang pesat di daerah ini sehingga berjaya menarik ramai pelancong.
Saifuddin memberitahu, populariti Temerloh yang selalu dikaitkan dengan masakan ikan patin juga berpotensi menjadikan ia sebagai daerah pelancongan domestik dan antarabangsa malah, mampu menjana perkembangan ekonomi sekitar.
Tambah beliau, ikan patin Temerloh kini berjaya menembusi pasaran Dubai, Arab Saudi dan United Kingdom walaupun bekalan semasa sebanyak 50 tan metrik setiap bulan masih tidak mampu memenuhi permintaan dalam negara.
"Ikan patin dari Temerloh mempunyai kualiti dan rasa tersendiri sehingga berjaya menarik ramai penggemar dari luar termasuk Kuala Lumpur dan negeri lain untuk menikmati keenakan masakan," ujarnya.
Katanya, jika usaha itu digerakkan secara bersepadu antara penduduk dengan penternak, Temerloh berupaya untuk dikenali sebagai pengeluar ikan patin terbaik di mata dunia.

Penangan patin Temerloh


Penternak ikan, Abdul Halim Ismail menternak ikan patin di dalam sangkar di Kampung Pangsenam, Temerloh, Pahang. - utusan/RUSHDI SALLEH


TEMERLOH 10 Jan. - Ikan patin atau nama saintifiknya Pangasius Lanaurdi Bocourt adalah spesies ikan air tawar jenis meserba yang mendiami sungai dan lombong.
Bentuk fizikal utamanya adalah mempunyai dua sengat di kiri dan kanan serta satu di belakang bahagian badan, tidak bersisik dan lembut.
Saiznya boleh mencecah satu meter panjang dan beratnya boleh menjangkau 20 kilogram.
Makanan utama spesies tersebut adalah anak-anak ikan, buah-buahan sungai dan udang.
Di Pahang, kawasan yang paling sinonim dengan ikan patin adalah daerah Temerloh.
Populariti ikan eksotik itu menyebabkan ia menjadi hidangan wajib di kebanyakan kedai makan, restoran dan hotel di daerah ini.
Industri ikan patin sangkar di Temerloh boleh dilihat di sepanjang Sungai Pahang.
Dianggarkan terdapat lebih 100 sangkar ikan patin yang memberi peluang ekonomi kepada penduduk menceburi bidang akuakultur.
Ikan patin Temerloh sama seperti yang terdapat di negara Asia Tenggara.
Ia merupakan sejenis ikan air tawar tanpa sisik yang hampir menyerupai ikan keli.
Kulit ikan itu pula kebiasaannya berwarna perak, putih kebiru-biruan. Di Thailand, patin dikenali sebagai basa.
Patin lazimnya hidup di lubuk air deras dan kawasan yang terdapat banyak rumpai air atau lumut sebagai sumber makanan.
Berikutan popularitinya dan keenakannya, menternak ikan patin sangkar adalah perniagaan yang menguntungkan di Temerloh.
Bekalan ikan patin sentiasa dicari sama ada di pasar atau pekan sehari, pasar raya atau di gerai-gerai ikan air tawar di sepanjang Sungai Pahang.
Menurut seorang penternak, Abdul Halim Ismail, 45, permintaan terhadap ikan patin adalah luar biasa jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di Pahang.
Katanya, sambutan luar biasa tersebut menyebabkan para penternak patin kadangkala tidak 'menang tangan' untuk memenuhi permintaan.
"Saya sendiri menternak 1,200 ekor patin pada satu-satu masa dalam tempoh lapan bulan dan membekalkan sekitar 600 kilogram ikan patin setiap bulan untuk memenuhi permintaan suri rumah dan pengusaha restoran," katanya ketika ditemui di Kampung Pangsenam di sini baru-baru ini.
Menurut Abdul Halim, ikan patin liar mempunyai harga yang agak mahal kerana ia mempunyai pasarannya yang tersendiri.
Seorang lagi penjual ikan patin, Mohd. Izahari Zakaria, 40, berkata, ikan patin sangkar mempunyai banyak keistimewaannya.
"Ia berbeza dengan ikan patin yang diternak di dalam kolam. Lazimnya, ikan patin yang diternak dalam kolam mempunyai rasa lumpur dan hanyir," jelasnya.
Sebaliknya, jelas beliau, ikan yang dipelihara di dalam sangkar yang membesar dalam Sungai Pahang rasanya jauh lebih enak berbanding spesies sama yang hidup meliar di sungai-sungai negara ini.
Tambahnya, ikan patin sangkar dijual pada harga RM14 sekilogram manakala ikan patin liar dijual antara RM80 dan RM200 sekilogram mengikut jenis.
Sementara itu, seorang pengusaha gerai ikan patin, Muhamad Alimi Adnan, 40, berkata, rasa ikan patin lebih manis apabila dicampurkan dengan sedikit tempoyak.
"Sama ada masakan itu berkuah atau dipanggang, patin lebih sedap jika ditambah sedikit tempoyak dalam masakan," katanya.
Menurutnya, rasa ikan patin memang berbeza dengan ikan air tawar yang lain.
"Kebanyakan penggemar pula sangat suka makan bahagian perut ikan patin yang hanya mengandungi lemak tanpa isi.
"Menurut kata orang-orang lama, lemak di bahagian perut ikan itu membantu melembapkan kulit wajah dan melambatkan kedutan serta mengatasi masalah jerawat," katanya.

Sunday, January 9, 2011

Vanila semakin diusahakan



Ishak Musa (kiri) bersama seorang lagi pengusaha menunjukkan buah vanila di kebunnya dekat Kampung Pamah Kulat, Raub, Pahang, baru-baru ini. - Utusan/Musazlila Mustapar


TEMERLOH 9 Jan. - Secara umumnya apabila berbicara mengenai vanila, ramai yang membayangkan kesedapan dan aroma perasa itu apabila dicampurkan ke dalam kek, ais krim, roti atau minuman karbonat.
Namun, tidak ramai yang tahu bagaimana vanila dihasilkan.
Malah, ramai juga yang tidak mengenali dari segi rupanya, bagaimana untuk mendapatkannya dan dari negara mana ia berasal.
Dari sudut sejarah, vanila ialah sejenis tumbuhan liar yang ditemui di Amerika Selatan.
Ia telah digunakan oleh kaum asli Mexico sebagai penyedap tembakau sejak berkurun yang lalu.
Pada 1721, vanila dibawa ke Eropah oleh orang Sepanyol sebelum dibawa oleh penjajah Belanda ke Bogor, Indonesia pada 1819.
Sejak 1850, vanila mula ditanam secara komersial di Indonesia apabila ia telah berjaya didebungakan.
Sejak itu, ia semakin digemari kerana keaslian aroma dan perisa aslinya.
Meskipun terdapat vanila sintetik yang dikenali sebagai vanilin, namun bahan sebatian itu dari segi kualitinya dikatakan kurang setanding dengan vanila asli.
Kini, tanaman vanila diperkenalkan di Malaysia selepas mendapati cuaca dan persekitaran negara ini sangat berpotensi untuk tanaman pokok vanila.
Potensi tanaman vanila sangat baik memandangkan sehingga kini dunia hanya menggunakan tiga peratus sahaja vanila asli manakala selebihnya masih menggunakan vanila sintetik.
Perkembangan sihat berhubung tanaman vanila turut mendapat sambutan di kalangan petani di Pahang.
Di negeri ini, terdapat beberapa petani yang mula menunjukkan minat untuk menanam vanila secara komersial.
Di daerah ini misalnya, dua rakan karib dari persatuan belia berlainan bergabung tenaga dalam mengusahakan tanaman vanila di Kampung Bangau Parit di sini.
Menurut pengusahanya, Mohd. Feisal Norawi, 29, tanaman vanila sangat mudah diusahakan kerana ia tidak terlalu cerewet.
Memandangkan harga di pasaran masa kini di sekitar RM300 sekilogram jika dijual kering dan RM40 sekilogram jika dijual basah, tanaman itu dijangka berpotensi menjadi komoditi ketiga selepas kelapa sawit dan getah.
Dia yang mengusahakan secara sambilan membantu rakan kongsinya menganggap vanila mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha walaupun hasilnya dituai sekali dalam setahun.
Mohd. Feisal yang mula menanam vanila pada awal tahun lalu memberitahu, vanila akan mula berbuah selepas tiga tahun ditanam.
''Ia memerlukan tujuh bulan untuk buah itu masak sebelum boleh dituai.
''Tanaman vanila memerlukan naungan dan ia sejenis tumbuhan memanjat. Sebelum ditanam, seelok-eloknya pokok lain turut ditanam yang bertindak sebagai pokok induk untuk dipanjat," katanya.
Mohd. Feisal mengeluarkan modal sekitar RM25,000 bagi menjayakan tanaman vanila yang diharap dapat membuka minda golongan muda supaya terlibat dengan tanaman baru dan tidak hanya tertumpu kepada getah dan kelapa sawit semata-mata.
Apa yang menarik minatnya menanam vanila jelasnya, ialah kerana ia tidak memerlukan kawasan luas, cukup kira-kira 0.2 hektar bagi 2,000 pokok.
Menurutnya, sebatang pokok vanila mampu mengeluarkan kira-kira 1.6 kilogram buah vanila basah.
Sehingga kini, dia telah menanam 800 pokok vanila yang dijangka mengeluarkan hasil pada tahun depan.
Sementara itu, rakan kongsinya, Ikmal Ab. Rahman, 31, pula berkata, setakat ini, masih ramai penduduk tempatan tidak mengetahui mengenai projek tanaman vanila yang diusahakannya.
Menurutnya, kebanyakan yang datang melawat ialah pengunjung luar yang berhasrat untuk mempelajari teknik menyemai benih dan menanam di ladang.
''Buah vanila basah yang dihasilkan nanti akan dikeringkan dengan kaedah tersendiri sebelum dijual secara kering," jelasnya.
Selain dua sahabat karib itu, tanaman vanila turut diusahakan oleh seorang bekas guru, Ishak Musa, 84, di Kampung Pamah Kulat, Raub yang dimulakan sejak 2004.
Sehingga kini, dia mempunyai kira-kira 1,000 pokok vanila dan sebahagiannya telah mengeluarkan hasil.
Ishak antara individu awal menceburkan diri dalam tanaman vanila di Pahang dan kini menjadi rujukan banyak pihak di negeri ini dalam menghasilkan tanaman vanila.
Kini, ketiga-tiga pengusaha vanila terbabit bergabung tenaga dalam mencipta kejayaan menghasilkan tanaman komoditi baru untuk diketengahkan kepada masyarakat.
Apa yang lebih meyakinkan, mereka telah bertemu dan bekerjasama dengan Ketua Pegawai Operasi Syarikat Ekstrak Tulen Sdn. Bhd., Dr. Anuar Omar yang memiliki mesin untuk menghasilkan vanila ekstrak untuk dijual di pasaran global.
Menurut Ishak, dengan bantuan Anuar yang bersetuju membeli hasilnya dengan harga semasa, dia yakin potensi tanaman vanila untuk dipasarkan secara ekstrak akan lebih luas dan lebih ramai yang akan berminat untuk menceburkan diri.
Anuar ketika ditemui di pejabatnya di Bentong baru-baru ini memberitahu, teknologi terkini menghasilkan ekstrak vanila ialah dengan menggunakan kaedah Supercritical Fluid Extractor (SFE).
Menurutnya, SFE digunakan untuk pengekstrakan bahan-bahan vanila daripada buah vanila yang telah dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk.
''Teknologi SFE membabitkan penggunaan tekanan udara yang tinggi dan suhu yang rendah untuk mencapai satu tahap lampau genting, apabila pada tahap ini, pepejal dan cecair bertukar bentuk tanpa dapat dikenali bentuk asalnya.
''Cara pengekstrakan ini boleh menghasilkan ekstrak vanila yang tulen serta bebas daripada kandungan pelarut sebagaimana kaedah pengekstrakan biasa yang umumnya menggunakan bahan pelarut seperti etanol atau pelarut hidrokarbon yang lain," jelasnya.
Menurut Anuar, kaedah SFE juga dapat mengekalkan keaslian bahan yang diekstrak.
Beliau turut mengalukan-alukan petani melibatkan diri dalam projek tanaman vanila yang diyakini paling berjaya sedikit masa lagi.
''Teknologi dan kelengkapan terkini sudah ada dan hanya menunggu hasil yang banyak daripada pengusaha," katanya.
Sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam tanaman vanila boleh berhubung dengan Ishak di talian 09- 2971172 atau 019-6135072.

Thursday, January 6, 2011

Rela Temerloh kini punyai lebih 11,000 ahli



Abd. Rashid Mat Bashir menyampaikan kad ahli Rela kepada seorang ahli baru di Taman Perumahan KSM Mentakab, Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 6 Jan. - Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Temerloh kini mempunyai seramai lebih 11,000 ahli berdaftar sehingga 31 Disember lalu.
Pegawai Rela Daerah, Leftenan Kolonel Abd. Rashid Mat Bashir berkata, jumlah itu meningkat seramai 3,000 berbanding 8,000 orang pada 2009.
Menurutnya, bilangan ahli kaum Melayu ialah seramai 6,605 orang diikuti Cina seramai 2,200 orang, India (1,388 orang) dan Orang Asli (1,083 orang).
"Usaha yang dilakukan di peringkat daerah sejajar dengan slogan Kementerian Dalam Negeri yang mahukan satu kampung, satu taman dan satu Rela untuk meningkatkan ahli ke tahap 2.5 juta orang.
"Pertambahan ahli yang sangat menggalakkan bagi daerah ini dianggap satu perkembangan sihat berbanding setahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kad ahli Rela baru di Taman KSM di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Platun Rela KSM, Khoo Nyok Lin.
Abd. Rashid berkata, mana-mana kampung dan taman perumahan dalam daerah ini yang belum menubuhkan pasukan Rela diminta berbuat demikian dengan segera bagi manfaat penduduk setempat.
Menurut beliau, pihaknya mengenakan syarat yang longgar untuk menubuhkan platun Rela.
''Hanya dengan seramai 33 ahli, sesebuah kawasan boleh menubuh platun Rela. Anggota Rela turut menerima pelbagai faedah lain seperti perlindungan insurans percuma.
''Kita amat mengalu-alukan penyertaan golongan belia dalam Rela yang dilihat masih kurang berminat menyertai pasukan beruniform ini," katanya.

Wednesday, January 5, 2011

Kejayaan KRT disokong jiran wanita



Saifuddin Abdullah (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi KRT Taman Bahagia, M. Taha Marjan yang memenangi KRT Terbaik peringkat Pahang di Taman Bahagia, Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 5 Jan. – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) tidak akan mencapai kejayaan jika tiada penyertaan jiran wanita yang mengelola dan menguruskan segala keperluan badan tersebut.
Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau berharap KRT dan jiran wanita daerah ini akan bekerjasama dalam memastikan setiap kegiatan yang direncanakan berjalan lancar di kawasan perumahan masing-masing.
“Kita berbangga kerana KRT Taman Bahagia dipilih sebagai KRT terbaik peringkat negeri 2010 dan ia merupakan pembakar semangat kepada KRT lain untuk sama-sama mencapai kejayaan itu.
“Bukan mudah untuk mencapai kejayaan itu kerana banyak perkara perlu dilaksanakan seperti mengadakan program setiap bulan, perpaduan dan hubungan dengan jabatan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dan meraikan kejayaan KRT Taman Bahagia dekat sini semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, kedua-dua pihak terlibat juga perlu memastikan jiran muda mempunyai kegiatan tersendiri terutama aktiviti sukan.
Katanya, pertubuhan itu tidak boleh mengabaikan jiran muda kerana bimbang mereka terjebak dalam kegiatan tidak bermoral seperti penagihan dadah, pergaulan bebas, merempit dan sebagainya.
“Selain sukan kita minta KRT adakan program seperti kem solat, ibadat, kelas kompang dan sebagainya supaya masa terluang remaja di setiap KRT dipenuhi dengan kegiatan yang berfaedah,’’ katanya.

Masyarakat bantu bentuk sahsiah remaja



Mohamed Jaafar (berbaju putih, berdiri depan) bersama peserta Kem Padu Anak Malaysia Peringkat Daerah Temerloh di Hutan Lipur Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh baru-baru ini. – utusan/Musazlila Mustapar



TEMERLOH 5 Jan. – Semua anggota masyarakat perlu berperanan dalam membentuk sahsiah dan akhlak remaja menerusi nasihat positif kerana golongan itu mudah terdedah dengan pelbagai anasir yang boleh menghancurkan masa depan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, remaja kini terdedah dengan pelbagai bentuk yang boleh meruntuhkan akhlak mereka terutama Internet.
Katanya, tidak dinafikan Internet merupakan satu keperluan dalam hidup dan sangat berguna dalam kehidupan seharian tetapi jika disalahgunakan untuk melayari laman sesawang pornografi merupakan satu perbuatan yang meruntuhkan akhlak seseorang.
“Kita bimbang dengan melihat video, gambar lucah dan boleh membuat muat turun aksi tersebut remaja akan terangsang menjadi liar dan pastinya mahu mencuba aksi tersebut.
“Akhirnya, berlaku perkara tidak diingini seperti kes pembuangan bayi yang berlaku sejak kebelakangan ini.
“Paling menyedihkan perbuatan itu dilakukan oleh remaja yang masih di bangku sekolah kerana golongan itu mudah mendapat akses kepada penayangan gambar lucah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kem Padu Anak Malaysia Peringkat Daerah Temerloh anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Temerloh, di Hutan Lipur Gunung Senyum dekat sini baru-baru ini.
Mohamed berkata, dalam hal itu ibu bapa tidak boleh memberikan kebebasan kepada anak-anak melayari Internet sebaliknya perlu dipantau supaya tidak terjebak dalam kegiatan tersebut.
Katanya, kini masyarakat negara ini dilanda demam laman sosial Facebook yang mana remaja menghabiskan masa dengan bersembang dalam laman tersebut dan mencari kenalan baru.
“Ibu bapa perlu tahu dengan siapa anak mereka berkawan terutama anak gadis kerana bimbang menjadi mangsa orang yang tidak dikenali.
“Kita lihat banyak kes remaja perempuan menjadi mangsa bunuh, rogol dan sebagainya. Ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak dan perlu tahu ke mana mereka pergi setiap hari,” katanya.

Karam Singh Walia Hina Melayu ? (English Subtitle)